Monday, April 21, 2014

PKR Kesal Dan Akui Felda Tidak Pernah Jual Minyak Mentah Kepada Israel


KUALA LUMPUR, 21 April – Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menyatakan rasa kesal dan mengakui serta menerima bahawa Felda tidak pernah menghantar minyak atau menjalankan sebarang perniagaan dengan negara Israel atau mana-mana syarikat milik Israel, sebaliknya urusniaga penghantaran minyak mentah tersebut dilakukan dengan negara Palestin.
Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Felda berkata, ini berikutan penghakiman persetujuan antara plaintif Felda dan defendan iaitu Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, yang membawa persetujuan yang mana terma-termanya membawa kepada pengakuan kesal PKR, mengakui dan menerima bahawa Felda tidak pernah menghantar minyak mentah kepada Israel sebaliknya ia dihantar kepada Palestin.
“PKR telah menyatakan rasa kesal dengan dua artikel yang ditulis dan dicetak itu yang merujuk kepada Felda. PKR juga mengakui dan menerima bahawa  Felda IFFCO Oil Product Sdn Bhd telah pada Mac 2010 mengantar minyak mentah ke Palestin dan bukan Israel serta mengakui bahawa Felda tidak pernah menjual minyak mentah kepada Israel atau mana-mana syarikat milik Israel.
“Untuk makluman, pada tahun 2012 akhbar milik PKR, Suara Keadilan telah mencetak dan menerbitkan dua artikel yang bertajuk Dua Ribu  Himpun Bantah Felda Jual Minyak Ke Israel dan BN Jangan Tipu Rakyat pada edisi Suara Keadilan bertarikh 27 November yang menuduh Felda menjual minyak mentah kepada Israel.
“PKR juga telah menarik balik segala imputasi yang telah dibuat dan akan dibuat oleh artikel berhubung perkara tersebut yang telah diterbitkan di dalam Suara Keadilan pada 27 November 2012 yang lalu,” jelas beliau kepada UMNO-Online ketika di temui di Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini.

Read more!