Thursday, October 15, 2009

Pindaan Perlembagaan UMNO - sinopsis

Salam Sejahtera,

Izinkan saya, bagi maksud makluman pembaca-pembaca blog saya, untuk menggariskan tujuh (7) premis pindaan Perlembagaan UMNO yang telah diluluskan sebulat suara oleh Perhimpunan Agung Khas UMNO semalam.

Premis pertama ialah meluaskan jumlah perwakilan dan sekaligus memindahkan kuasa memilih Ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) termasuk Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia ke peringkat Mesyuarat Perwakilan Bahagian. Fasal-fasal yang terlibat ialah 8.3.3, 8.3.4, 9.3, 9.4, 9.9, 9.10, 14.5.1, 14.5.2, 14.5.4, 17.5.7 & 17.5.8 serta memasukkan fasal baru 14.4.7 Perlembagaan UMNO Malaysia. Efeknya, secara ringkas, ialah seramai 146,500 perwakilan Bahagian-Bahagian (sebanyak 191 Bahagian) akan memilih Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO (iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden & 25 Ahli Majlis Tertinggi) disamping memilih ahli jawatankuasa Bahagian. Selaras dengan pindaan ini juga, Ketua-Ketua Sayap Cawangan (iaitu Wanita, Pemuda & Puteri) akan secara otomatik menjadi perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian (sebagai contoh, untuk cawangan yang ahlinya adalah 250 orang, seramai 9 wakil Cawangan iaitu 1 Ketua, 5 wakil Cawangan & 3 Ketua sayap). Ini merupakan perubahan besar kepada UMNO dan tentunya akan didukung oleh semua ahli UMNO dan dihormati oleh rakyat.
Premis kedua ialah penghapusan kuota. Secara ringkas, ianya bermaksud ahli-ahli UMNO yang ingin menawarkan diri untuk bertanding hanya perlu memenuhi kelayakan minima iaitu untuk ahli-ahli Majlis Tertinggi hendaklah sekurang-kurangnya telah menjadi Ahli MT (MT) atau Ahli Jawatankuasa Bahagian (AJK) selama satu (1) penggal. Manakala untuk bertanding AJK Bahagian pula adalah menjadi ahli UMNO sekurang-kurangnya tiga (3) tahun. Fasal-fasal yang terlibat adalah 9.5 dan 15.5 Perlembagaan UMNO. Untuk makluman, Perlembagaan Malaysia juga ada menetapkan kelayakan minima jika seseorang itu mahu bertanding untuk kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
Premis ketiga ialah pertambahan wakil wanita selaku ahli lantikan di semua peringkat iaitu Majlis Tertinggi, Bahagian & Cawangan. Selari dengan itu juga, jumlah ahli lantikan yang dibolehkan untuk Presiden, Ketua Bahagian & Ketua Cawangan ditambah satu (1) di semua peringkat iaitu untuk MT tiga-belas (13) orang, Bahagian lapan (8) orang & Cawangan (6) orang. Fasal-fasal yang terlibat ialah 9.2.8, 15.1.8, 15.2 & 18.1.8 Perlembagaan UMNO.
Premis keempat ialah penubuhan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) sebagai satu badan khusus untuk mengendalikan pemilihan di peringkat MT dan Bahagian. Juga telah dicadangkan, untuk tahun pemilihan (bagi UMNO ialah 3 tahun sekali) pemilihan di peringkat Bahagian dibuat serentak. Dengan ini, kempen akan lebih teratur & mengurangkan 'politiking' (termasuk anasir salahlaku). Fasal terlibat ialah 10.5 Perlembagaan UMNO manakala untuk pemilihan serentak, ianya telah ada di Fasal 10.4. Apa yang perlu ialah arahan MT untuk dibuat serentak pemilihan Bahagian di dalam tahun pemilihan.
Premis kelima ialah yuran tahunan (RM1 setahun) dihapuskan dan RM2 yang dibayar sewaktu pendaftaran akan diterima sebagai yuran seumur hidup. Fasal-fasal yangterlibat ialah 8.4.3, 10.2, 10.9, 14.4.3, 14.4.4, 15.13.4, 15.13.8, 17.4.3 & 18.12.3 Perlembagaan UMNO. Ini akan tentunya mengurangkan masalah pembatalan mesyuarat Cawangan dan meminimakan salahguna kuasa ketua cawangan yang dengan sengaja tidak membayar yuran tahunan (atau tidak mahu menerima yuran tahunan).
Premis keenam ialah sistem pendaftaran keahlian diperluaskan dengan memberi kuasa kepada ketua-ketua sayap iaitu Ketua Wanita Cawangan, Ketua Pemuda Cwangan & Ketua Puteri Cawangan (selain Ketua Cawangan yang sememangnya mempunyai kuasa tersebut). Dengan pindaan ini juga, kuasa melulus dan menerima akan dipecahkan kepada empat (4) peringkat iaitu Cawangan (oleh Ketua Cawangan), Wanita (oleh Ketua Wanita Cawangan), Pemuda (oleh Ketua Pemuda Cawangan) & Puteri (oleh Ketua Puteri Cawangan). Fasa-fasal yang terlibat ialah 5.2, 18.12.4 & 18.12.11 Perlembagaan UMNO.
Premis ketujuh ialah menjadikan Setiausaha Bahagian perwakilan otomatik ke Perhimpunan Agung Tahunan. Ini adalah mengenang jasa dan memberi pengiktirafan kepada Setiausaha Bahagian yang sememangnya berkerja kuat untuk memastikan pentabdiran Bahagian lancar. Fasal terlibat ialah 8.4.4 Perlembagaan UMNO.
Pengamatan saya daripada pindaan-pindaan diatas ialah UMNO peka kepada permintaan perubahan, sentiasa 'versatile' dengan tuntutan peredaran zaman & Perlembagaan UMNO adalah contoh 'living piece of document' dan mestilah ditafsirkan secara liberal & bukannya, di dalam meminjam kata-kata DYMM Sultan Azlan Shaha (ketika itu Raja Azlan Shah, LP), 'read in a pedantic way' (dibaca secara sempit).
Saya berharap ahli-ahli UMNO akan mendukung pindaan ini dan untuk rakyat Malaysia, akan melihat ini sebagai suatu langkah serius UMNO untuk kembali rapat kepada rakyat & menjadi juara untuk semua tanpa mengira bangsa & agama.
Sekian, terima kasih.

Read more!

Tuesday, October 6, 2009

Paparan Iklan Barisan Nasional di N. 31 Bagan Pinang - adakah ianya melanggar undang-undang pilihanraya?



Salam Sejahtera,

Saya baru sahaja pulang daripada Port Dickson (DUN N. 31 Bagan Pinang) petang tadi. Sewaktu saya di sana, saya telah melihat banyak paparan iklan Barisan Nasional yang telah diletak di tepi jalan-jalan utama DUN Bagan Pinang. Paparan iklan itu antara lainnya menyatakan tentang manipulasi PAS terhadap kanak-kanak di bawah umur (bukan pengundi), janji-janji yang tidak ditepati dan juga politik 'tolak pembangunan' PAS.

Selanjutnya, saya juga sempat melihat paparan iklan PAS yang diletak di persimpangan jalan (berdekatan dengan PD Marina Resort) antara lainnya menyatakan bahawa BN gagal penuhi janji pengundi Rembau semasa PRU-12 dsb.

Sewaktu mengikuti Berita Awani jam 9.00 malam tadi, saya amat tertarik kepada 'amaran' Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS, Saudara Mohd Firdaus Jaafar yang memberi amaran kepada jentera BN agar menurunkan segala paparan iklan yang mengikut beliau berunsur 'fitnah' dan menyalahi undang-undang dalam masa 24 jam ataupun mereka akan menurunkannya (self-help).

Saya ingin mengulas pertama mengenai paparan iklan BN ataupun PAS dan kedua mengenai 'amaran' menurunkan dalam 24 jam ataupun akan diturunkan (self-help). Saya telah menyelidik undang-undang termaktub berkenaan kesalahan pilihanraya iaitu Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 ("Akta tersebut"). Seksyen-seksyen yang relevan adalah Seksyen 9 dan 24B Akta tersebut. Seksyen 9 Akta tersebut tidak ada menyatakan, secara tersurat mahupun tersirat, bahawa ianya adalah suatu kesalahan pilihanraya jika paparan iklan yang bermaksud sebagaimana saya telah katakan tadi sebagai 'pengaruh tidak wajar'. Ini kerana Seksyen 9 Akta tersebut hanya berkata mengenai kekerasan, keganasan atau halangan, atau yang mengenakan atau mengancam hendak mengenakan, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain, apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan, atau kerugian keduniaan atau kerohanian. Apa yang dikatakan oleh paparan iklan BN hanyalah fakta sebenar atau paling kurang, adalah propaganda politik yang dibolehkan mengikut lunas undang-undang pilihanraya.

Seterusnya, Seksyen 24B Akta tersebut pula menetapkan bahawa apa-apa perjumpaan terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka atau hiburan awam terbuka, ucapan awam terbuka atau syarahan awam terbuka mestilah mempunyai permit daripada Ketua Polis Daerah (KPD). Tiada apa-apa berkenaan paparan iklan yang mesti mendapat permit KPD.

Saya berpendapat bahawa Seksyen yang relevan, jikalaupun hendak dijadikan sebagai asas rujukan Pasukan Petugas - Kempen Pilihanraya (PP-KPR), dalam mengarahkan penurunan paparan iklan BN hanyalah Seksyen 27E (b) Akta tersebut. Namun begitu, jika dilihat seksyen tersbeut, ianya spesifik kepada bahan-bahan kempen yang tidak mematuhi mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pilihan raya (justeru itu hanya Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang terpakai, Akta-akta lain seperti Akta Hasutan dsb adalah tidak terpakai). Sebagai contoh, jika dilihat kepada Seksyen 11 (1) (c) Akta tersebut, ianya hanya berkata tentang mencetak, menerbitkan, mengedarkan atau menampalkan atau menyebabkan supaya dicetak, diterbitkan, diedarkan atau ditampalkan apa-apa iklan, surat sebaran, pelekat atau poster yang berkenaan dengan mana-mana pilihan raya dan yang tidak mengandungi pada mukanya nama dan alamat pencetak dan penerbitnya. Jika dirujuk lagi, Seksyen 11 (1) (d) Akta tersebut, hanya menyatakan membuat atau menerbitkan apa-apa pernyataan palsu mengenai fakta berhubung dengan watak atau kelakuan peribadi calon itu sebelum atau semasa mana-mana pilihan raya bagi maksud menpengaruhi supaya mana-mana calon dipilih.

Oleh itu, paparan iklan BN tidak menyalahi mana-mana undang-undang berkenaan pilihanraya dan sepatutnya dikekalkan selagi ianya tidak melanggar seksyen-seksyen yang telah saya nyatakan diatas.

Berkenaan amaran Saudara Mohd Firdaus untuk menurunkan sendiri paparan iklan BN dalam masa 24 jam (jika tidak diturunkan oleh petugas BN), saya berpendapat ianya bersifat retorik politik sahaja tanpa asas undang-undang yang kukuh. Saya juga ingin menasihatkan agar beliau lebih berhati-hati aapabila bermain sentimen seperti ini kerana ianya boleh mencetus ketegangan dsb. Adalah lebih baik beliau fokus kepada isu-isu pembangunan setempat DUN Bagan Pinang yang ternyata kurang sekali disentuh oleh PAS di dalam pilihanraya kecil ini.

Sekian, terima kasih.

[Salam Sejahtera & selamat tengahari,

Hari ini (7/10/2009) YBM Tengku Datuk Seri Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO Malaysia telah membawa ke perhatian saya Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1964. Mengikut YBM Tengku Datuk Seri, seksyen tersebut telah menjadi dasar laporan polis yang dibuat oleh PAS terhadap BN.

Saya telah meneliti dan berpendapat Seksyen tersebut mungkin tidak tepat pemakaiannya oleh PP-KPR dalam menurunkan paparan iklan BN/PAS kerana seksyen itu lebih kepada pernyataan dengan tujuan atau dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan anatar orang yang terdiri daripada kaum yang sama atau kaum yang berlainan atau daripada golongan yang sama atau golongan yang berlainan penduduk Malaysia untuk mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi. Jika disabitkan kesalahan itu, ianya boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.

Apa-apa pun keputusan telah dibuat oleh PP-KPR dan ianya perlu dihormati. Yang pentingnya, PAS sekarang sedar bahawa PP-KPR (atau SPR) tidaklah 'bias' ataupun menjadi 'alat' BN kerana paparan iklan BN juga telah diturunkan.

Sekian, terima kasih]


Read more!