Monday, August 24, 2009

Hari Pengundian (Polling Day) N. 11 Permatang Pasir

Salam Sejahtera,

Pertama sekali, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat mengerjakan ibadah puasa di dalam bulan Ramadhan Al-Kareem ini. Semoga segala ibadah kita akan dilipat-gandakan pahala olehNya, insya-Allah.

Esok akan bermulalah pengundian untuk pilihanraya kecil DUN N. 11 Permatang Pasir. Waktu mengundi, mengikut Peraturan 11 (5) Peraturan-peraturan pilihan raya (perjalanan pilihan raya) 1981, adalah antara jam lapan (8) pagi sehingga lima (5) petang.

Saya ingin mengambil kesempatan untuk memberi sedikit pesanan kepada petugas-petugas piihanraya BN terutamanya ejen-ejen mengira undi (counting agent) dan tempat mengundi (polling agent). Saya mengambil iktibar ini daripada pengalaman sewaktu PRK Manek Urai, Kelantan yang lalu dan juga pengalaman saya sebelum ini.

Bagi makluman ejen tempat mengundi (polling agent), sila tandakan buku daftar pemilih secara terang, konsisten & gariskan di atas nama pengundi daftar yang hadir untuk mengundi. Ini diperlukan sekiranya pihak kami perlu membuat permohonan di Mahkamah pilihanraya untuk suatu tahafus (scrutiny). Juga, sediakanlah beberapa kertas kosong sekiranya perlu dibuat kiraan berapa ramai pengundi telah hadir mengikut waktu bertugas. Untuk ejen tempat mengundi yang bertugas di awal pagi iaitu jam 8 pagi, silalah menandatangani Borang 13 (Penyata Kertas Undi) yang diberikan oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) saluran masing-masing dan pohon kepada KTM agar diberikan sesalinan (untuk rekod) di waktu petang apabila waktu mengundi diumumkan telah tamat.

Khusus untuk ejen mengira undi (counting agent), sebelum diberi Borang 14 (Penyata Pengundi Selepas Pengiraan Undi) oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) saluran masing-masing untuk ditandatangani, pastikan jika perbezaan undi diantara calon PAS dengan BN adalah empat (4) peratus atau kurang daripada jumlah bilangan undi yang dibuang, minta diadakan semula pengiraan kertas undi yang telah diterima (recount of accepted votes) di saluran masing-masing. Ini kerana Peraturan 25 (13) Peraturan-peraturan (perjalanan pilihanraya) 1981 telah dipinda pada 13/02/2004 dimana tidak lagi dibenarkan pengiraan semula (recount) di Dewan Penjumlahan Rasmi Undi (Totalling centre) seperti kebiasaan. Ini penting dibuat jika perbezaan antara kedua-dua calon adalah kurang daripada 4% daripada jumlah undi yang telah dibuang, sebagai contoh di PRK Manek Urai yang lalu. Setelah dibuat pengiraan semula, barulah disarankan menandatangani Borang 14 yang tersebut diatas.

Selamat bertugas dan salam perjuangan daripada saya.

Sekian, terima kasih

Read more!

Tuesday, August 18, 2009

KENYATAAN RASMI PEJABAT PENASIHAT UNDANG-UNDANG UMNO MALAYSIA

(1) STATUS KELAYAKAN BERTANDING CALON BN N.11 PERMATANG PASIR, SAUDARA ROHAIZAT BIN OSMAN

Banyak telah diperkatakan di dalam akhbar dan juga blog-blog berkenaan status saudara Rohaizat bin Othman, calon BN N. 11 Permatang Pasir untuk bertanding di dalam Pilihanraya Kecil ini. Begitu juga berkenaan tindakan tatatertib terhadap beliau oleh Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara. Pejabat ini ingin menjelaskan perkara berikut.

Perkara 48 Perlembagaan Malaysia jelas maksudnya iaitu seseorang hanya akan hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Parlimen [di dalam situasi saudara Rohaizat, Ahli Dewan Undangan Negeri] jika:

(a) Tidak sempurna akal;
(b) Seorang bankrap yang belum dilepaskan;
(c) Memegang sesuatu jawatan berkepentingan;
(d) Gagal menghantar penyata belanja pilihanraya dalam masa dan mengikut cara yang dikehendaki;
(e) Disabitkan suatu kesalahan oleh sesuatu Mahkamah dan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang 1 tahun atau denda tidak kurang daripada 2 ribu ringgit dan ia tidak mendapat ampun; dan
(f) Hilang kewarganegaraan.

Berdasarkan kepada perkara di atas, Saudara Rohaizat bin Othman tidak hilang kelayakannya dan nasihat di atas juga telah diberikan oleh Pejabat ini kepada pucuk pimpinan UMNO. Justeru itu, Saudara Rohaizat bin Othman telah dipilih untuk menjadi calon BN N.11 Permatang Pasir.

(2) ISU TINDAKAN TATATERTIB OLEH LEMBAGA TATATERTIB PEGUAMBELA & PEGUAMCARA TERHADAP SAUDARA ROHAIZAT BIN OTHMAN

Di dalam Usul Pemula No. 25-33-2008 di Mahkamah Tinggi Malaya di Pulau Pinang, Saudara Rohaizat bin Othman telah menyatakan keterangan bersumpah seperti berikut:-

(a) Transaksi jual beli sebidang tanah oleh Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang Berhad [“Koperasi itu”] dikendalikan sepenuhnya oleh bekas rakan kongsi beliau;

(b) Pada masa aduan dibuat oleh Koperasi itu, bekas rakan kongsi beliau telahpun meninggalkan firma beliau, Tetuan Saif Ariff & Rohaizat;

(c) Beliau telah hadir bicara kali pertama di hadapan “Disciplinary Committee” pada 11/9/2007 dan kerana kesuntukan masa, telah ditangguhkan ke tarikh 14/11/2007 bagi beliau memberikan penjelasan sewajarnya;

(d) Malangnya pada 14/11/2007, beliau telah jatuh sakit dan sesalinan sijil sakit telah difakskan kepada ahli “Disciplinary Committee” pada hari itu juga dan telah menghantar wakil untuk memaklumkan perkara tersebut;

(e) Pada 14/3/2008, beliau telah menerima sepucuk surat bertarikh 12/3/2008 daripada Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara dengan satu salinan Perintah menyatakan bahawa beliau telah dibatalkan daripada Daftarai Peguambela dan Peguamcara; dan

(f) Isu tuntutan Koperasi itu telahpun diselesaikan sepenuhnya dan Koperasi itu telah mengeluarkan sepucuk surat bertarikh 28/3/2008 mengesahkan perkara ini.

Rentetan peristiwa di atas jelas menunjukkan bahawa Saudara Rohaizat bin Othman telah sanggup mengambil tanggungjawab sebagai rakan kongsi di dalam firma tersebut. Walau apapun, beliau telah mnyelesaikan segala bayaran yg tertunggak bagi membersihkan nama baik beliau dan firmanya.

Tindakan tatatertib yang diambil terhadap beliau adalah atas kapasiti bersesama dan berasingan [“joint and several liability”] di dalam undang-undang lazim perkongsian selaras dengan Akta Perkongsian 1961. Malahan, rakan-rakan kongsi di dalam firma guaman akan terdedah kepada liabiliti yang tidak terhad termasuklah perilaku jenayah, kecuaian dan pengabaian rakan-rakan kongsi di dalam firma guaman. Ini bukanlah suatu pembahagian liabiliti yang adil tetapi itulah bagaimana firma guaman diwujudkan di Malaysia tatkala ini.

Justeru itu, adalah tidak tepat jika dikatakan bahawa Saudara Rohaizat bin Othman diadukan atas kapasiti perseorangan beliau sebagai seorang pengamal undang-undang walhal beliau adalah rakan kongsi di firma tersebut dan liabiliti beliau adalah terpaut kepada firma guaman beliau juga. Adalah diakui setakatmana bahawa tindakan yang diambil terhadap beliau adalah dibawah Seksyen 103D Akta Profesyen Undang-Undang 1976 tetapi itu samalah seperti tindakan diambil terhadap pengarah Syarikat yang diperbadankan.

Tindakan tatatertib ini sama prosesnya seperti badan-badan professional yang lain i.e. Majlis Perubatan Malaysia, Persatuan Akitek Malaysia. Di dalam konteks UMNO pula, ianya sama seperti Lembaga Disiplin UMNO mengambil tindakan salahlaku tataetika ahlinya tetapi tidak bermakna ahli UMNO itu telah melakukan pecah amanah dan sebagainya.

Akhir kata, isu berkenaan kelayakan bertanding hanya tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia dan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 manakala isu tindakan tatatertib pengamal undang-undang hanyalah tertakluk kepada Akta Profesyen Undang-Undang 1976. Tidak ada kaitan antara kedua-duanya dan oleh itu, tidak timbul isu salahlaku jenayah [criminal misconduct] kecuali adanya sabitan di Mahkamah dan hukuman dijatuhkan dan tiada pengampunan diberikan.

Sekian. terima kasih.

DATUK MOHD HAFARIZAM HARUN
Read more!

Friday, August 14, 2009

Pilihanraya Kecil N. 11 DUN Permatang Pasir

Salam Sejahtera,

Hari Isnin depan bersamaan dengan 17hb Ogos 2009, penamaan calon untuk Pilihanraya Kecil N. 11 DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang (PRK N. 11 DUN Permatang Pasir) akan berlangsung. Untuk itu, saya ingin mengulas sedikit berkenaan undang-undang sewaktu Hari Penamaan Calon bagi maksud dan rujukan petugas-petugas BN/UMNO supaya BN/UMNO akan dilihat mematuhi undang-undang walau apapun keputusan PRK N. 11 DUN Permatang Pasir nanti.

Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihanraya, 1954 menyenaraikan batasan diayah politik pada hari penamaan seperti berikut:

Seksyen 24A(1):
(1) memberi atau membekal kepada mana-mana orang apa-apa alat muzik atau pembesar suara dengan tujuan alatan tersebut digunakan dengan apa cara atau digunakan di dalam vesel, binatang, motokar, trak atau kenderaan lain;

(2) menggunakan sendiri atau menggunakan di dalam vesel, binatang, motokar, trak atau kenderaan lain alatan muzik atau pembesar suara itu.

Seksyen 24A(2):
(3) menunggu atau berdiri-diri dalam jarak lima puluh meter dari sempadan mana-mana tempat penamaan calon.

Berikut adalah batasan-batasan yang ditetapkan untuk Hari Penamaan Calon, justeru itu memakai lambang parti di dalam kawasan Dewan Penamaan Calon adalah tidak dilarang dan begitulah juga membawa bendera-bendera parti dsb.

Saya juga ingin mengambil kesempatan disini untuk mengingatkan jentera BN/UMNO bagi PRK N. 11 DUN Permatang Pasir sekiranya selepas diumumkan adanya pertandingan Isnin nanti, jika kelihatan bendera-bendera (ataupun markas-markas/bilik-bilik gerakan) selain parti PAS, hendaklah dibuat aduan serta-merta kepada Ketua PP-KPR (iaitu pasukan petugas kempen pilihanraya yang terdiri daripada polis, SPR, wakil calon-calon yang bertanding & PBT) agar bendera selain PAS tidak dibenarkan untuk dikibarkan ataupun markas/bilik gerakan didirikan. Ini selaras dengan Peraturan 11(2)(b) & (c) Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Perjalanan Pilihanraya) 1981 yang jelas maksudnya dan telahpun dikuatkuasakan sewaktu PRK Manek Urai baru-baru ini.

Sekian, terima kasih.

Read more!

Sedikit analisis berkenaan lawatan/majlis ramah mesra bersama pelajar-pelajar Malaysia di negara-negara Timur Tengah

Salam Sejahtera,

Kami telah selamat pulang ke tanahair hari Rabu lepas bersamaan 12hb Ogos 2009. Saya berpendapat bahawa lawatan/majlis ramah-mesra bersama pelajar-pelajar Malaysia di negara-negara Timur Tengah adalah suatu program yang berjaya dan menepati tujuannya.
Saya telah berbincang degan ramai pelajar-pelajar disana dan kesimpulan yang saya dapati ialah mereka inginkan penerangan yang sebenar dan perlulah disokong dengan bukti konkrit, justeru itu, segala dokumen-dokumen berkenaan krisis Perak yang saya bawa telah habis diedarkan sehingga saya terpaksa membuat salinannya di sana. Saya amat kagum dengan keprihatinan pelajar-pelajar Malaysia disana kerana mereka telah menunjukkan sikap berhemah apabila menyoal kecuali seorang dua pelajar (yang bukannya anak Perak).
Saya tidak menyalahi mereka kerana bertanyakan soalan-soalan yang berbentuk provokasi tetapi sedih di dalam satu majlis di Kaherah (sewaktu penyerahan kunci asrama pelajar-pelajar anak Perak) telah berlaku satu insiden tepian (sideline) yang agak memeranjatkan saya, apatah lagi beliau adalah pelajar Universiti Al-Azhar. Ianya berkenaan soalan saya apakah hukumnya di dalam Islam berkenaan perilaku YB Dato' Seri Ir. Nizar mengangkat lilin (seperti yang dilaporkan di dalam akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini) memperingati kematian seorang yang bukan Muslim, beliau telah mengatakan bahawa ianya tidak haram! Menjawap soalan tambahan/hypotesis saya berkenaan saya mengangkat gelas wain/arak di dalam satu majlis, beliau juga telah menyatakan bahawa arak hanyalah HARAM sekiranya ianya memabukkan justeru itu tidaklah Haram bagi seorang Muslim untuk mengangkatkannya di dalam majlis itu (ataupun meminumnya asalkan tidak mabuk)!
Saya boleh terima hujahan diatas jika ianya datang daripada pelajar jurusan lain di universiti lain tetapi daripada Al-Azhar yang sudah tersohor kehebatannya di dalam ilmu Fiqh, Usuludin dsb, ianya sangat memeranjatkan saya yang hanya berjurusan undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia.
Saya mohon menasihatkan saudara tersebut, berhati-hatilah apabila berhujah kerana Saudara akan menjadi pendakwah, pengajar dan penggerak Islam suatu hari nanti dan jika inilah hujahan Saudara, saya khuatir Saudara akan tidak berlaku adil kepada mereka yang ingin belajar atau meperolehi ilmu dengan Saudara.

Sekian terima kasih.

Read more!

Tuesday, August 4, 2009

Lawatan kerja/penyerahan bangunan asrama Perak & majlis bertemu pelajar Perak di Mesir, Jordan & Syria

Salam Sejahtera,

Sewaktu saya menulis blog ini, saya sedang menanti panggilan untuk memasuki pesawat Egypt Air untuk ke Kaherah, Mesir. Rombongan ini adalah rombongan lawatan kerja bagi urusan penyerahan projek bangunan asrama Perak di Kaherah, Mesir & majlis bertemu pelajar Perak di sana. Saya telah diminta untuk mewakili Ibu Pejabat UMNO selain atas kapasiti saya selaku Ketua Pasukan Undang-Undang UMNO/BN Perak sewaktu membuat kes-kes melibatkan YAB Menteri Besar & 6 EXCOnya dan juga ketiga-tiga ADUN Bebas.
Saya sangat berbesar hati kerana telah dijemput untuk menyertai rombongan ini selain diberi peluang oleh Ibu Pejabat UMNO untuk berjumpa dengan pelajar-pelajar Perak khususnya dan Malaysia amnya.
Antara itenari/urusan yang telah diatur adalah majlis bertemu dengan pelajar-pelajar di Kaherah, Iskandariah, Amman (Jordan) dan Damsyik (Syria). Saya diminta untuk memberi penerangan sebenar tentang apa yang berlaku berkenaan krisis politik yang dicetuskan oleh pakatan pembangkang di Perak bermula daripada pengumuman bahawa ketiga-tiga kerusi DUN Jelapang, Behrang & Changkat Jering telah kosong sehinggalah kebenaran untuk merayu diberikan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini (untuk kes YB Dato' Seri Nizar lwn YAB Dato Seri Dr Zambry).
Saya menjangkakan beberapa isu-isu hangat sbg. cth. pembubaran Dewan Negeri, moraliti 'melompat parti', hak keistimewaan YDP Dewan Negeri Perak dsb akan dibangkitkan oleh pelajar-pelajar di sana dimana saya cukup bersedia untuk memberikan penerangan sebaik mungkin dengan data-data, bukti-bukti dan keterangan-keterangan yangs sediaada dan dibawa bersama. Saya berharap, di dalam kita mencari kebenaran, penerangan saya akan disambut dengan penuh beradab, berhemah & bersesuaian dengan tatasusila ketimuran. Saya tidak menyatakan ianya adalah sebegitu atau akan berlaku tetapi mengakui ada sedikit debaran di hati jikalau ianya tidak disambut dengan hati terbuka oleh pelajar-pelajar disana nanti.
Apa-apa pun, saya telah ditugaskan untuk menjalankan amanah yang berat ini dan saya akan menunaikannya. Saya tidak berniat untuk mencari publisiti tetapi hanya ingin menerangkan perkara sebenar daripada perspektif UMNO/BN.
Sekian, terima kasih.

Read more!